Friday 26 October 2012

SITUASI 25: Stesyen atau stesen???

JUMAAT

26 OKTOBER 2012


                             
Gambar A: STESYEN                                                  Gambar B: STESEN

ULASAN

Kita sering keliru dengan perkataan stesyen dan stesen. Dalam bahasa Inggeris stesen dieja station. Hal ini menimbulkan kekeliruan sama ada stesyen tersebut adalah dari bahasa Inggeris atau pinjaman daripada bahasa Inggeris.

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka stesen merupakan tempat khas bagi kenderaan penumpang seperti kereta api, bas dan teksi untuk berhenti. Stesen juga turut dikatakan sebagai tempat perhentian.

Berdasarkan Gambar A di atas, Ia merujuk kepada tempat penumpang naik dan turun di perhentian-perhentian tertentu. Oleh yang demikian ejaan "stesyen" itu perlu ditukar kepada ejaan yang betul dan tepat iaitu stesen.

Bagi gambar B pula, perkataan stesen tersebut sudah tepat. Seperti yang kita sedia maklum stesen merupakan tempat perhentian bukan hanya untuk menaik turun penumpang sahaja tetapi berfungsi sebagai suatu tempat yang mempunyai peralatan khas untuk memberikan sesuatu perkhidmatan atau menjalankan aktiviti-aktiviti tertentu seperti aluran gelombang radio, Hidroelektrik, sistem penjana kuasa dan sebagainya.

Kesimpulanya di sini terdapat kesalahan penggunaan perkataan stesen dalam gambar A di atas. Kesalahan ini bukan hanya melibatkan perkataan stesen itu tetapi kosa kata ayat yang digunakan tidak bersesuaian. 

Oleh itu, bersamalah kita pelihara bahasa Melayu ke arah bahasa yang disegani. 



Thursday 25 October 2012

SITUASI 24: Loghat negeri Pahang


KHAMIS
25 OKTOBER 2012


Tak cak ne: tak dengar kata

Copeng: tepi sangat

Ngope: kenapa

Molor: Bekas

 Tak pandai kelakor: tak pandai gayakan

Melohor: Tengah hari

                                                BabÉ™: tak dengar cakap

                                                     Kas: Saya

                                          Karang: Nanti atau sebentar

                                          Lantok aok: suka hati awak
 

ULASAN


Sudah lama tidak mendengar loghat negeri Pahang. Ketika di kampung seluruh keluarga menggunakan loghat negeri Pahang dalam perbualan. 

Ada bahasa yang tidak saya fahami dan lama tidak dengari. 
Kata-kata di atas merupakan bentuk loghat negeri Pahang. Disebabkan berjauhan dari keluarga perbualan saya menjadi bahasa standard atau bahasa biasa. 

Apabila pulang ke kampung barulah saya mempelajari dan menukarkan bahasa standard tadi kepada loghat negeri Pahang. Dalam berbahasa penggunaan loghat sebenarnya tidak digalakkan. Bukan apa kita biasanya akan terbawa-bawa loghat itu ke merata tempat.

Hal ini akan menimbulkan salah faham kepada pihak yang mendengar. Tidak semua orang dapat memahami bahasa yang kita ujarkan lebih-lebih lagi apabila kita menggunakan loghat negeri masing-masing. 

Semasa belajar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) saya pernah terkeluar loghat negeri Pahang ketika berbual dengan rakan saya. Rakan saya cuba perbetulkan ayat saya. Rasanya ayat tersebut sudah betul cuma rakan saya tidak biasa dengan ayat yang saya gunakan. 

Saya menanyakan soalan kepada rakan saya dari negeri Pahang dan dia faham dengan ayat yang saya kemukakan. Kesimpulannya di sini elakkan dari menggunakan loghat dalam perbualan supaya kita sendiri tidak tersinggung dan orang lain dapat memahami maksud yang ingin kita sampaikan.










Wednesday 24 October 2012

SITUASI 23: Budi bahasa


RABU
24 OKTOBER 2012

Pelbagai halangan terpaksa ditempuhi sepanjang perjalanan pulang ke kampung halaman hari ini. Semasa di stesen bas Tanjung Malim saya dimarahi oleh penjaga di kaunter gara-gara ingin menukar tiket bas. Setibanya di Titiwangsa saya terus membeli tiket bas untuk ke Raub. Sebelum menaiki bas seorang warga emas telah dimarahi oleh pemandu bas kerana berjalan terlalu pelahan. Suasana di dalam bas pada mulanya sunyi berubah apabila pemandu bas tersebut melemparkan kemarahannya. Ada penumpang yang dimarahi kerana membawa makanan masuk ke dalam bas. Sepanjang perjalanan pemandu bas tersebut asyik beremosi sahaja. Habis kenderaan lain turut dimarahi. Bunyi hon itu dijadikan satu amaran kepada pemandu yang lain. Saya hanya mampu berkata-kata di dalam hati dan tiada siapa pun yang berani melawan kata-kata pemandu bas tersebut.

ULASAN

Berdasarkan situasi di atas jelas memperlihatkan kebanyakan masyarakat hari ini tidak menitikberatkan nilai-nilai murni dalam kehidupan mereka. Sikap buruk atau negatif dalam diri terbawa-bawa ke merata tempat sehingga tidak mengira masa dan situasi. Akibatnya orang lain yang menjadi mangsa. 

Wajarlah warga emas tersebut berjalan lambat ketika menaiki bas. Hal ini kerana faktor usia dan kesihatan menyebabkan warga emas tersebut sukar untuk bergerak dengan pantas. Sekiranya penat sekalipun kita haruslah mengawal emosi kita agar tidak menyakiti hati pihak lain. Melepaskan kemarahan bukan cara yang bijak untuk menyelesaikan masalah. 

Amalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan dan terapkan nilai berbudi bahasa ketika berbicara. Tidak salahnya sekiranya kita ingin menegur seseorang itu agar tidak membawa masuk makanan, tetapi teguran itu mestilah dalam nada yang tidak terlalu tinggi dan tidak menjatuhkan air muka orang tersebut di khalayak ramai.  
        
Saya tertarik dengan lirik lagu upin & ipin. Lagu inilah seharusnya kita terapkan dalam kehidupan kita. 
                                                     
                                                        Renung-renungkan lirik lagu ini.

Tanam-tanam ubi,
Tak perlu dibaja,
Orang berbudi,
Kita berbahasa.






Tuesday 23 October 2012

SITUASI 22: Bandar atau pekan???



SELASA
16 OKTOBER 2012

Persoalan saya selama ini akhirnya terjawab. Dalam kelas semantik tadi En. Abdullah Yusof ada menceritakan mengenai perbezaan bahasa yang digunakan oleh masyarakat di sesebuah kawasan. Kebetulan ia melibatkan masyarakat di negeri Pahang dan negeri lain. Ternyata ada perbezaan yang terdapat pada perkataan “pekan”. Menurut En. Abdullah Yusof masyarakat di negeri Pahang mentafsir pekan itu sebuah pasar malam atau pekan sari tetapi bagi masyarakat di negeri lain pekan merujuk kepada bandar-bandar kecil. Barulah saya sedar selama ini saya pelik kenapa pekan Tg. Malim dipanggil pekan bukan bandar Tg. Malim. Jika di tempat saya pula, pekan sebesar Tg. Malim itu dipanggil bandar Raub.

                                            Pekan Tg. Malim
                                                 Bandar Raub

                                                  Pekan Sari

ULASAN

Situasi di atas memperjelaskan bahawa pekan dan bandar merupakan dua tempat yang hampir sama dari segi pembangunannya. Berbezanya adalah dari segi konteks masyarakatnya. Setengah pihak mengelaskan sesuatu tempat berdasarkan kepada pemerhatian dan pandangannya yang tersendiri. Mungkin masyarakat di negeri Pahang menamakan bandar Raub kerana melihatnya dari struktur kemudahan dan pembangunan di kawasan tersebut. Bagi masyarakat Tg. Malim pula melihat pekan tersebut dari perspektif yang berbeza dengan masyarakat di Raub. Namun demikian, kekeliruan ini sebenarnya boleh dibezakan dengan saiz petempatan. Bandar adalah tempat atau pusat yang ramai penduduknya dan terdapat banyak urusan perniagaan yang dijalankan. Pekan pula merujuk kepada petempatan manusia yang biasanya lebih besar dari kampung tetapi lebih kecil dari bandar. Bagi pekan sari pula ia nya dibezakan dengan jualannya lebih kepada makanan dan pakaian disamping waktu beroperasinya adalah pada waktu-waktu yang ditetapkan. 

Monday 22 October 2012

SITUASI 21: Penggunaan bahasa dalam pantun

ISNIN
22 OKTOBER 2012



   ULASAN

Dalam berbahasa kadangkala kita selalu melakukan kesalahan. Kesalahan itu bukan hanya dalam bentuk lisan sahaja tetapi turut didapati dalam bentuk tulisan. Apa yang ingin saya sampaikan di sini ialah penyalahgunaan bahasa itu sering kali dilihat dan diguna pakai oleh kita semua hari ini dalam apa jua situasi. Kadang-kadang kita sendiri tidak sedar perkara yang kecil tersebut sebenarnya boleh merosakkan bahasa sedikit demi sedikit. 

Bagi contoh di atas kita dapat lihat penggunaan pantun sering disalahgunakan dari segi bentuk bahasanya. Maksud pantun tersebut mungkin dapat difahami oleh pihak lain tetapi kegunaan ayat dalam pantun tersebut perlulah bersesuaian. Setiap kata-kata memberi maknanya yang tersendiri. Tidak mungkin kubis dapat ditanam di atas langit. Maksud ini terlalu tinggi dan begitu tersirat tetapi ia boleh menimbulkan persoalan kepada orang ramai dan akan disangkal oleh pihak- pihak tertentu. 

Bagi orang yang mementingkan penggunaan bahasa sudah pasti menolak penggunaan bahasa yang sedemikian. Biasanya dalam bersastera kita bebas menggunakan bentuk-bentuk bahasa yang indah bagi menarik perhatian khalayak. Tetapi harus diingat walaupun bahasa yang digunakan menarik dan indah namun ia tidak memberi apa-apa makna sekiranya bahasa itu disalahgunakan.


Friday 19 October 2012

SITUASI 20: Perkhemahan pelajar sekolah


JUMAAT
19 OKTOBER 2012






Saya dan rakan-rakan ditugaskan untuk mengambil gambar pelajar sekolah rendah yang terlibat dengan perkhemahan. Semasa mengambil gambar, saya melihat seorang guru lelaki sedang memberi taklimat kepada semua pelajar sekolah rendah tersebut. Selepas taklimat sesi pembahagian kumpulan diberikan. Guru meminta setiap ketua kumpulan pergi ke hadapan untuk mengambil khemah. Apa yang memeranjatkan saya apabila guru tersebut mencampakkan khemah tersebut kepada salah seorang pelajar lelaki. Budak itu kelihatan terkejut dan khemah yang dicampakkan kepadanya itu hampir terkena mukanya. Saya hanya tergamam melihat tingkah laku guru tersebut. Tingkah laku dan kata-kata yang sedemikian tidak sepatutnya digunakan kepada pelajar melainkan pelajar tersebut berdegil atau tidak  mendengar arahan.

UlASAN

Sebagai seorang guru kita seharusnya sedar bahawa tidak semestinya kekerasan yang dapat mendidik pelajar. Berdasarkan situasi di atas sikap sedemikian bukan hanya boleh mencederakan pelajar malahan menujukkan sikap yang kurang baik oleh golongan guru. 

Sekiranya pelajar melakukan kesalahan wajar kita memberikan teguran tetapi teguran tersebut mestilah bersesuaian dan tidak melampau. Seandainya pelajar tersebut mengalami kecederaan sudah pasti banyak pihak yang terlibat.

 Kata-kata yang dituturkan kepada pelajar juga perlulah bersesuaian. Sekiranya pelajar mendengar arahan yang disampaikan oleh guru, tidak salahnya guru bertolak ansur dan tidak bertindak kasar kepada pelajarnya.


Thursday 18 October 2012

SITUASI 19: Variasi bahasa


KHAMIS
18 OKTOBER 2012

Setelah berakhir majlis Malam Tautan Kasih Perbayu saya dan rakan bergegas keluar. Bukan apa risau sekiranya kami semua terlepas bas. Kami berenam berjalan secepat yang mungkin. Sampai di pintu pagar kami hanya melihat bas KUO sahaja. Rasa resah timbul dalam diri. Manalah bas ke kampus ni??. Berhampiran kami ada ramai budak lelaki semester satu. Kami pun sembanglah dengan mereka. Ada seorang budak lelaki ni, dia bercakap bahasa Kelantan terlalu pekat. Kadang-kadang saya tidak memahami apa yang diperkatakannya. “ kelik ghatoh aye”, itulah perkataan yang keluar dari mulut salah seorang budak semester satu. Dalam hati saya berkata “ ohh balik ni dia nak ratah ayam ”. Lantas kawan saya bertanya kepada budak tersebut kelik ghatoh ayam tu apa? kawan saya seorang lagi menjelaskan kepada kawan saya itu maksud sebenar apa yang diperkatakan oleh budak tersebut. Kawan saya pun mengangguk, ohhh macam tu ingatkan apa tadi. 

ULASAN

Berdasarkan situasi di atas dapatlah disimpulkan bahawa penggunaan dialek boleh menimbulkan kekeliruan atau ketidakfahaman seseorang. Bagi mereka yang faham maksud sesuatu perkara itu tidak mengapa tetapi bagi mereka yang tidak fahami maksud tersebut pasti akan menimbulkan tanda tanya. Jika kita lihat hari ini ramai yang bertutur menggunakan dialek negeri masing-masing. Penggunaan dialek itu digunakan secara meluas. Sebagai contohnya kita boleh lihat ada penceramah atau ahli-ahli panel yang menggunakan dialek negeri mereka dalam majlis rasmi. Bagi sesetengah orang mereka merasakan bahawa penggunaan dialek boleh merapatkan lagi hubungan mereka dengan khalayak. Memang ada betulnya mereka yang menggunakan dialek dapat mewujudkan kemesraan dan dijadikan suatu hiburan tetapi harus diingat penggunaan dialek ini akan menimbulkan permasalahan bahasa kepada masyarakat kita hari ini. Mutu bahasa Melayu sama ada lisan ataupun tulisan akan merosot akibat penggunaan dialek ini.


Wednesday 17 October 2012

SITUASI 18: Rujukan kehormat


RABU
17 OKTOBER 2012


Kumpulan lima    : Assalamualaikum dan selamat sejahtera, Yang dihormati pensyarah kita Dr Z dan rakan-rakan sekalian.
Pensyarah          : Salah tu. Betulkan semula ayat tersebut.

Setiap ahli dari kumpulan lima dikehendaki membetulkan ayat tersebut namun ayatnya tetap salah.

Pensyarah          : Selagi tidak betul selagi itu pembentangan tidak boleh dijalankan.

Saya dan rakan-rakan berbincang untuk mencari jawapan yang sebenar. Akhirnya pensyarah meminta rakan saya ke hadapan untuk memberi jawapan yang tepat. Jawapan yang diberikan oleh rakan saya turut salah. Hampir 15 orang dipanggil ke hadapan. Seorang demi seorang diminta untuk membetulkan ayat tersebut. Akhirnya seorang pelajar perempuan yang berbangsa India dapat membetulkan kesalahan tersebut.

Pelajar India        : Yang berbahagia pensyarah kita Dr Z.
Pensyarah           : Ok. Jawapan awak betul.
                            Beri tepukan kepada kawan kita ini.


ULASAN

 Berdasarkan situasi di atas dapat simpulkan bahawa rujukan kehormat adalah aspek yang penting yang perlu dititikberatkan. Walaupun perkara ini nampak mudah dan remeh tetapi kita harus sedar bahawa perkara ini bukan hanya membezakan pangkat seseorang tetapi sebagai tanda menghormati orang yang berkenaan. 

Kebiasaannya dalam majlis tertentu bahagian protokol sangat penting bagi memastikan sesuatu majlis itu dapat berjalan dengan baik. Aspek penting yang harus diambil berat berkenaan rujukan kehormat ini adalah mengenalpasti terlebih dahulu latar belakang tetamu atau orang penting yang diundang. 

Kesalahan rujukan kehormat ini akan menimbulkan permasalahan yang besar terutamanya apabila berhadapan dengan golongan yang berstatus dan berpangkat besar seperti Raja, Perdana Menteri dan sebagainya.

Penggunaan bentuk sapaan yang betul sebenarnya amat penting dalam kesantunan berbahasa.Sehubungan dengan itu, bentuk sapaan mestilah berpadanan dengan kedudukan atau taraf orang yang disapa.










Tuesday 16 October 2012

SITUASI 17: Kesalahan bahasa

SELASA
16 OKTOBER 2012



Zila: Dekat kampung saya basikal tu orang panggil gerek.

Amirul: Ehh dekat kampung saya orang sebut basikal.

ULASAN

Tanpa kita sedari dalam kehidupan kita seharian kadang kala kita sering menyalahgunakan sesuatu bahasa itu. Perkara ini mungkin disebabkan oleh kebiasaan menggunakannya dari dahulu sehingga sekarang. Apabila ada pihak yang menyangkal barulah kita cuba mencari jawapannya. Contohnya seperti situasi di atas.

Perkara ini sudah biasa kita dengari dalam perbualan. Sebenarnya perkataan yang sesuai ialah sebut berbanding panggil. Biasanya panggil itu merujuk kepada sesuatu yang bertindak balas. Misalnya mak panggil adik masuk kerana hari sudah senja. Dalam hal ini mak dan adik menunjukkan sesuatu yang bertindak balas.

Bagi perkataan sebut pula ia lebih sesuai digunakan bagi tujuan memberi nama atau menggelarkan sesuatu. Misalnya seperti ayat di atas sepatutnya ayat yang sesuai ialah dekat kampung saya basikal itu orang sebut gerek. Oleh yang demikian perkataan panggil di atas perlu ditukar kepada perkataan sebut kerana ayat tersebut menunjukkan bahawa Zila menamakan sesuatu yang tidak boleh bertindak balas.


Monday 15 October 2012

SITUASI 16: Memartabatkan Bahasa Melayu


ISNIN 
15 OKTOBER 2012





Hari ini merupakan hari Persidangan Antarabangsa Memartabatkan Bahasa Melayu & Pelancaran Bulan Bahasa Melayu Peringkat Negeri Perak  di Universiti Pendidikan Sultan Idris. Saya agak tertarik dengan kata-kata seorang pensyarah yang bernama Prof. Abdul Hamid Mahmood. Menurutnya tajuk seminar “Memartabatkan Bahasa Melayu” lebih sesuai ditukar kepada Memartabatkan Kembali Bahasa Melayu.

                                                                     ULASAN

Setiap kata-kata memberi makna yang tersendiri. Begitulah juga dengan kata memartabatkan bahasa Melayu.  Makna di sebalik kata-kata ini memperjelaskan bahawa kita sedang mengangkat bahasa Melayu ke arah bahasa yang lebih tinggi dan sebagai bahasa pengantar ilmu. 

Sebenarnya bahasa Melayu sudah pun dimartabatkan sejak dahulu lagi. Bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa kebangsaan dan digunakan dalam hal pentadbiran, pendidikan, perhubungan dan lain-lain lagi. 

Saya bersetuju dengan pendapat Prof Abdul Hamid yang menyatakan bahawa memartabatkan bahasa Melayu  tersebut ditukar kepada memartabatkan kembali bahasa Melayu. Hal ini kerana selepas kemerdekaan 1957 kita sudah mula menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar ilmu. 

Selain itu juga, sejarah telah membuktikan bahasa Melayu berperanan sebagai media penyebaran persuratan ilmu di Nusantara. Pelbagai kempen telah dijalankan dari dahulu hingga sekarang demi memartabatkan bahasa Melayu ini. Oleh yang demikian, usaha dalam memastikan bahasa Melayu mencapai kegemilangannya haruslah dipergiatkan dan dipertingkatkan secara berterusan agar bahasa Melayu tidak lenyap dek arus zaman.



Friday 12 October 2012

SITUASI 15: Budaya menconteng





 JUMAAT
12 OKTOBER 2012

Sebelum sampai di Sunway Piramid saya sempat melihat di sekitar dinding laluan pejalan kaki kawasan tersebut. Kelihatan ada yang menconteng dinding tersebut dengan menggunakan bahasa yang tidak senonoh.
   
     puki mak kau” itulah perkataan yang tertulis pada dinding tersebut. Saya sempat menunjukkannya kepada rakan saya. Rakan saya hanya mampu menjawab perkara sedemikian sudah menjadi biasa bagi kehidupan di bandar. Bukan dinding itu sahaja, tetapi banyak lagi kawasan yang dijadikan tempat menconteng oleh mereka.

ULASAN

Budaya menconteng ini telah wujud sejak sekian lama lagi. Biasanya golongan remaja yang ramai melakukannya. Amalan menconteng ini terbawa-bawa dari sekolah hingga ke tempat lain. Alasan yang diberi ialah bosan.

Mereka bukan sahaja menconteng untuk meluahkan apa yang mereka rasa malahan mereka menggunakan bahasa yang tidak sopan. Bahasa ini bukan sahaja kesat malah mengotorkan dinding-dinding yang tersedia cantik. 

Malu rasanya apabila orang luar atau pelancong melihat keadaan dinding-dinding terutama di kaki lima yang penuh dengan tulisan yang menyakitkan mata.

Bukan hanya perkataan "puki mak kau" yang biasa kita dengar atau lihat, namun bayak lagi bahasa lain yang mereka gunakan. Misalnya seperti bodoh, giler, babi, siut, sial dan lain-lain lagi.


Aspek penting dalam memastikan bahasa kita sentiasa dipelihara adalah melalui kesedaran dalam diri. Peliharalah bahasa demi maruah bangsa dan negara.



Thursday 11 October 2012

SITUASI 14: Bentuk sapaan

KHAMIS
11 OKTOBER 2012

Sewaktu ingin pulang ke rumah, rakan saya memberhentikan basikalnya  di kawasan taman perumahan. Saya hanya mengikuti rakan saya dari arah belakang. Sampai di sebuah rumah rakan saya memberi salam kepada tuan rumah. Akhirnya tuan rumah tersebut keluar. Kelihatan umur  wanita itu sudah menjangkau  60 an. Saya memanggil wanita tersebut dengan panggilan nenek. Namun demikian, wanita tersebut membahasakan dirinya sebagai mak cik. Timbul rasa segan dalam diri dan saya terus memperbetulkan sapaan saya daripada nenek menjadi mak cik.

ULASAN

Status merupakan salah satu faktor penting dalam penggunaan bahasa sapaan. Begitulah juga dengan kata ganti diri yang digunakan dalam pergaulan formal atau tidak formal. Dalam pergaulan biasa, umur dan jarak perhubungan penting di antara seseorang individu dengan individu yang lain. Berdasarkan situasi di atas bentuk sapaan yang digunakan adalah berdasarkan ciri-ciri atau faktor umur seseorang. Oleh sebab mak cik tersebut membahasakan dirinya sebagai mak cik, penutur haruslah menghormati panggilan tersebut. Apa pun bentuk sapaan mestilah dipersetujui oleh kedua pihak.




Wednesday 10 October 2012

SITUASI 13: Membayar di kaunter



RABU
10 OKTOBER 2012




Semasa ingin membayar di kaunter, saya melihat satu situasi yang kurang sopan oleh masyarakat kita hari ini. Ada seorang pemuda  telah membawa bakul yang penuh dengan barang ke kaunter express. Sampai di kaunter tersebut juru kaunter memberitahu pemuda tersebut bahawa hanya sepuluh barang sahaja yang dibenarkan. Juru kaunter itu mengarahkan agar pemuda tersebut membayar di kaunter sebelah. Pemuda itu berkeras hati dan terus meletakkan kesemua barangnya di atas kaunter tersebut. Walaupun telah ditegur beberapa kali tetapi pemuda itu tetap tidak mengendahkan apa yang diperkatakan oleh juru kaunter tersebut. Akhirnya juru kaunter tersebut terpaksa mengira barang pemuda tersebut.

ULASAN

Mesej yang hendak disampaikan di sini ialah amalkan sikap bertolak ansur dalam kehidupan dan hormati orang di sekeliling kita. Situasi di atas memperlihatkan sikap seseorang yang tidak faham bahasa atau istilah lain tidak dengar kata.

Walaupun telah mengetahui  kesalahannya namun tidak ada sedikit pun kesedaran dalam diri lelaki tersebut. Apa yang saya lihat juru kaunter itu tetap menuturkan ayat yang sopan walaupun pemuda itu bertutur dalam nada yang tidak memuaskan hati.

Agak terkilan apabila masyarakat kita lebih mementingkan diri dalam beberapa hal. Sikap yang sebegini bukan hanya menyusahkan orang di sekeliling tetapi memalukan diri sendiri. Budaya ini sekiranya dibiarkan ia akan menjadi ikutan generasi akan datang.

Walau apa jua situasi pun kita haruslah bersabar dan mematuhi peraturan yang ditetapkan. Bagaimana ingin menjadi insan yang berdedikasi dan berdisiplin sekiranya perkara ini pun kita tidak boleh ikuti. Renung-renungkanlah.....

Tuesday 9 October 2012

SITUASI 12: Kantoi




SELASA
9 OKTOBER 2012

Lirik lagu Kantoi

ULASAN

Bahasa rojak sering digunakan oleh masyarakat kita hari ini tanpa mengira lapisan umur. Ada sesetengah pihak berasa bangga apabila menggunakan bahasa rojak ini. Bagi mereka menggabungkan dua bahasa menunjukkan diri mereka begitu hebat.


Selain digunakan dalam perbualan, bahasa rojak juga sering digunakan dalam dunia seni seperti nyanyian. Video di atas merupakan salah satu contoh bentuk bahasa rojak yang digunakan dalam sebuah lagu yang berjudul Kantoi.

 Lagu Kantoi ini merupakan campuran di antara bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. Lagu ini juga mendapat perhatian dan menjadi ikutan anak-anak muda hari ini. Ada pihak setuju bahasa rojak ini digunakan sebagai alat hiburan tetapi bagi saya bahasa rojak ini sedikit sebanyak akan menghancurkan bahasa Melayu kita. 

Seharusnya lebih baik kita gunakan bahasa yang betul dalam apa jenis situasi sekalipun. Saya rasa, sekiranya lagu Kantoi ini dinyanyikan penuh dalam bahasa Inggeris ianya mesti lebih menarik dan tersusun. 

Monday 8 October 2012

SITUASI 11: Kesalahan dalam katalog





ISNIN
8 OKTOBER 2012

ULASAN  

Berdasarkan keratan katalog di atas, terdapat kesalahan bahasa dalam ayat tersebut. Kesalahan ejaan bukan sahaja mencemarkan bahasa kita malahan memberi kekeliruan kepada sesetengah pihak. Bagi kanak-kanak, mereka akan mudah terikut dengan apa yang dilihat. Dalam petikan di atas perkataan rawatan telah berubah menjadi rawatang. Sekiranya bahasa itu tidak diperbetulkan ia akan tetap disimpan dalam memori kanak-kanak.  Selain kanak-kanak, golongan dewasa juga tidak terkecuali menerima kesan akibat kesalahan ejaan ini. Mungkin ada yang tertanya-tanya sama ada ianya adalah satu kesilapan ataupun istilah baru yang dicipta. Seharusnya sebelum pihak syarikat mengedarkan risalah kepada orang ramai mereka perlulah memastikan agar kesalahan ejaan seperti ini tidak berlaku. Bersamalah kita menjaga bahasa kita agar ianya tidak dicemari.

Friday 5 October 2012

SITUASI 10:Di kedai komputer

JUMAAT
5 OKTOBER 2012


Selepas habis kelas saya bercadang ingin ke kedai BHL yang berhampiran dengan Kampus. Setibanya di kedai tersebut saya terus berjumpa dengan salah seorang pembantu di kedai itu. Pembantu kedai tersebut merupakan seorang wanita yang berbangsa India. Saya menanyakan soalan mengenai masalah printer saya. Pada mulanya wanita itu faham dengan soalan saya. Apabila saya ajukan soalan seterusnya pembantu kedai tersebut tidak dapat menjawab persoalan saya. Hal ini kerana wanita itu tidak faham dengan soalan yang saya kemukakan dan saya tidak dapat memahami apa yang telah disampaikan oleh wanita itu. Kawan saya cuba untuk menerangkan namun demikian ianya tetap sama. Akhir sekali saya mengambil keputusan untuk pergi ke kedai lain.  


Antara istilah-istilah printer yang sering diguna pakai ialah:

            Selang                                                                                                Tinta










Catridge                                                                                                  Tabung tinta



ULASAN


Sewaktu berkomunikasi  kemahiran berbahasa sangat penting. Hal Ini kerana penggunaan bahasa yang baik penting bagi kedua-dua pihak untuk berkomunikasi. Kemungkinan bahasa yang digunakan oleh pelanggan merupakan bahasa biasa. 

Pemikiran setiap individu adalah berbeza. Pelanggan mungkin menghadapi kesukaran menjelaskan masalah yang dihadapi. Oleh yang demikian pelanggan terpaksa menerangkan bahasa yang mudah tetapi berbanding pula dengan peniaga. Mereka mempunyai pengetahuan yang luas dalam masalah printer tersebut.

Maklumat yang disampaikan oleh peniaga mungkin tidak sampai kepada pelanggan. Hal ini kerana wujudnya istilah-istilah tertentu yang tidak diketahui atau difahami oleh pelanggan.

Thursday 4 October 2012

SITUASI 9: ATM


                                                                

KHAMIS
4 OKTOBER 2012



Semasa sedang beratur menunggu giliran di ATM bank Islam, saya terdengar suara seseorang dari arah belakang. Suara itu membuatkan saya tersentap. “agak-agak ada setahun lagi tak? agaknya ATM ni bapak dia yang punya ke?. Itulah kata-kata yang keluar dari bibir seorang wanita kepada rakannya.





ULASAN

Dalam setiap hal kita seharusnya bersabar dan janganlah terlalu beremosi. Kata-kata yang tidak sopan itu tidak seharusnya dituturkan. Hal ini boleh menimbulkan kemarahan dan ketidakselesaan kepada orang lain.

 Zaman sekarang ramai yang menggunakan kiasan atau bahasa tersirat untuk menunjukkan ketidakpuasan hati mereka. Sebenarnya cara ini salah. " Budi Bahasa Budaya Kita" itulah slogan yang harus kita pegang dalam hidup kita. 

Berdasarkan situasi di atas, sikap sedemikian sememangnya menunjukkan orang tersebut  tidak beradab.Wajarlah barisan terlalu panjang kerana terdapat satu ATM di situ. Sikap terburu-buru dan kurang ajar inilah sebenarnya pencetus kepada masalah lain.

Wednesday 3 October 2012

SITUASI 8: Di kedai gunting rambut




 RABU
 3 OKTOBER 2012


Semasa sedang menemani rakan di kedai gunting rambut tiba-tiba datang seorang pemuda berbaju merah menghampiri tukang gunting. “ Tauke u boleh buat rambut macam budak baju biru itu tak??”. Lalu saya menoleh budak baju biru yang dimaksudkan itu. Fesyen rambut budak itu seakan-akan pelakon Korea. Lantas tauke gunting rambut itu menjawab boleh-boleh tapi u kena tunggu sebentar. Ok, satu kepala berapa???saya tak potong kepala saya potong rambut sahaja. Geli hati saya dibuatnya apabila mendengar perbualan tauke gunting rambut bersama pemuda itu.


ULASAN

Walaupun terdapat unsur-unsur jenaka dalam perbualan tersebut namun di sebalik kata-kata itu memberi makna yang mendalam yang berbentuk sindiran. Kebanyakan pemuda sekarang sering mengabaikan penggunaan bahasa yang betul dalam perbualan mereka dengan masyarakat sekeliling. 

Tahu kah kita semua bahawa bahasa itu melambangkan diri kita yang sebenar. Budaya hidup masyarakat Melayu memperlihatkan imej masyarakat Melayu yang lembut dan sopan santun bukan sahaja dari sikapnya yang berbudi bahasa namun penggunaan bahasa yang lebih sopan.

Jika kita lihat hari ini bahasa kita kelihatan semakin hilang kesantunannya. Rata-rata nya berpunca dari diri kita sendiri. Masing-masing terikut-ikut dengan gaya hidup sekarang. Budaya ini secara tidak langsungnya menyebabkan anak-anak kecil yang sedang meningkat dewasa terikut-ikut dengan golongan dewasa yang sedemikian rupa. Oleh yang demikian kesantunan berbahasa haruslah dikekalkan oleh masyarakat kita hari ini.

Tuesday 2 October 2012

SITUASI 7: I’m only speak in english

SELASA
2 OKTOBER 2012


 ' I'M ONLY SPEAK IN ENGLISH '





ULASAN


' I'M ONLY SPEAK IN ENGLISH ' Kata-kata inilah yang saya lihat di hadapan bilik seorang tenaga pengajar. Dalam hati saya terdetik mungkin orang tersebut berasal dari luar negara, tetapi melihat namanya orang tersebut adalah dalam kalangan orang Melayu sendiri.

Terdetik di hati saya adakah amalan ini yang kita kekalkan dalam masyarakat kita hari ini???. 

Situasi ini menyebabkan saya rasa malu dengan masyarakat Melayu sekarang ini. Terlalu agungkan bahasa luar berbanding bahasa Melayu itu sendiri. Bukan saya tidak setuju penggunaan bahasa Inggeris itu digunakan sewaktu berkomunikasi tetapi mestilah bersesuaian dengan faktor masa dan tempat tertentu.

Bagi mereka yang tidak pandai berkomunikasi dalam bahasa Inggeris sudah pasti menghadapi kesukaran untuk berinteraksi. Boleh sekiranya kita ingin berkomunikasi dalam bahasa lain sekali pun tetapi kita harus sedar bahawa bukan semua bahasa yang kita tuturkan dapat difahami oleh masyarakat di sekeliling.