Friday 28 September 2012

SITUASI 5 : Ragam bahasa



                                                                                                                                 

                                                             Jumaat

                                                     28 September 2012



Hari ni saya pergi kedai burger yang berhampiran dengan rumah saya. Semasa sedang menunggu burger siap, saya sempat memerhatikan gelagat dua orang budak yang merupakan anak kepada penjual burger tersebut. Seorang lelaki dan seorang perempuan. Umur budak lelaki dan perempuan itu dalam lingkungan 9 tahun hingga 11 tahun. Saya hanya mendengar sahaja perbualan dua beradik itu.


Perbualannya adalah seperti berikut :

                                          Budak perempuan    : Abang jom main wiley.
                                          Budak laki                : Tak nak la nak g meresing
                                          Budak perempuan    : Mu sewey la wat gilo


Berdasarkan perbualan kedua beradik ini, mereka menggunakan ragam bahasa yang bebas. Penggunaan bahasa masyarakat kita hari ini kebanyakan lebih kepada bahasa slanga dan bahasa pasar.

Bahasa slanga ialah bahasa yang dianggap tidak baku. Bahasa slanga ini juga turut dikenali sebagai bahasa kutu atau bahasa rocker. Biasanya sekelompok masyarakat tertentu yang menggunakan bahasa ini. Misalnya golongan muda-mudi, mahasiswa dan mahasiswi 

Bahasa pasar pula dikaitkan dengan bahasa pijin. Bahasa pijin ialah variasi bahasa yang dipermudahkan bagi tujuan berkomunikasi. Variasi ini biasanya ditambah dengan ciri-ciri bahasa lain atau dikatakan berlakunya pencampuran kod.

Kanak-kanak ini, sepertinya terikut-ikut dengan bahasa yang bersifat kolokial. Sekiranya bahasa ini menjadi amalan mereka ia akan memberi kesan kepada generasi yang seterusnya terutamanya generasi Y kini. 

Bahasa Melayu baku kini tidak lagi diwarisi sebaliknya disalahgunakan. Kata-kata yang kesat dituturkan tanpa memikirkan kesan buruknya. Bagaimana kita ingin memartabatkan bahasa kita, sekiranya kanak-kanak sekarang menjadikan bahasa basahan sebagai rutin dalam perbualan harian mereka.
                                   

                                   

Thursday 27 September 2012

SITUASI 4 : Dialek


 

                                                           Khamis

                                                  27 September 2012

Ada seorang Pak cik sedang duduk minum di sebuah kedai bersama anaknya. Datang seorang lelaki ingin mengambil pesanan pak cik tersebut. Ermmm Pak cik nak minum apa? lalu Pak cik itu menjawab " keh nak keh sebut " dalam loghat negeri Pahang. Pak Cik Carlsberg tidak dijual di sini, kata pengambil pesanan tersebut. Masing-masing saling berpandangan di antara satu sama lain.

ULASAN

Bahasa Melayu sememangnya kaya dengan pelbagai bahasa termasuklah penggunaan dialek. Dialek dapat diertikan sebagai suatu bentuk bahasa yang berbeza daripada bahasa standard. Biasanya penggunaan dialek sering digunakan dalam situasi-situasi lain yang tidak rasmi seperti perhubungan kekeluargaan dan pergaulan harian.

Dalam berbahasa kadangkala kita lebih suka menggunakan ayat yang tidak formal dalam kehidupan harian terutamanya penggunaan dialek. Penggunaan dialek sering menimbulkan salah faham di antara masyarakat hari ini. 

Contohnya ayat di atas. Penggunaan dialek negeri Pahang tidak akan difahami oleh penutur lain kerana bahasa yang digunakan dalam ayat tersebut tidak jelas maksudnya.

 Apabila penutur lain mendengarnya mereka pasti menganggap Pak cik tersebut meminta "Carlsberg ". Namun demikian, hakikatnya dalam ayat di atas maksudnya ialah sekiranya Pak cik tersebut ingin minum, dia akan memberitahunya nanti. 

Kepelbagaian dialek boleh menyebabkan kekeliruan dalam berkomunikasi.

Wednesday 26 September 2012

SITUASI 3 :Penggunaan bahasa dalam laman web "face book"



Rabu
26 September 2012

ULASAN


Berdasarkan petikan di atas yang di ambil dari laman web “face book” jelas memperlihatkan masyarakat hari ini ramai yang menyalahgunakan bahasa dalam setiap hal. 

Jelas sekali perkataan tidur yang merupakan perkataan asal telah diubah menjadi “ tidor” dan perkataan terbawa ditukar menjadi  “ terbawe”. Hal ini mungkin disebabkan oleh keterbiasaan menggunakannya dalam perbualan harian.

Terdapat juga penggunaan bahasa rojak iaitu gabungan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. Contohnya perkataan "handfree" yang digunakan dalam petikan di atas.

Selain itu, terdapat  juga penambahan pada perkataan Best. Perkataan "best" yang merupakan perkataan dari bahasa Inggeris telah mengalami penambahan huruf lain yang menjadikan perkataan itu menjadi "bestt".

 Bahasa slanga juga turut didapati dalam petikan di atas sebagai contohnya ialah "Boh", "mavolous" dan "ambek kaw". 

Bahasa slanga ini dianggap lebih rendah tarafnya daripada bahasa standard dan bahasa slanga ini turut dikenali sebagai bahasa tidak rasmi. Kebiasaan menggunakan bahasa rojak dan slanga ini akan menyebabkan bahasa Melayu kian terhapus. 

Selain itu, ianya akan memberi kesan kepada sistem pendidikan kita hari ini. Ramai pelajar hari ini sering menggunakan bahasa rojak dalam penulisan karangan. Mereka sebenarnya sudah terbiasa menggunakan bahasa singkatan dalam penghantaran sistem pesanan ringkas (SMS).





Tuesday 25 September 2012

SITUASI 2 :Topik perbualan



Selasa
25 September 2012


Semasa berjalan kaki pergi ke kelas, dua orang rakan saya memulakan perbualan dengan menggunakan dialek sebelah Utara. Seorang berasal dari Perlis dan seorang berasal dari Pahang. Rakan saya yang berasal dari Pahang mengajak rakan yang berasal dari Perlis untuk berkomunikasi dengan menggunakan dialek Utara.

            Ayat di bawah ini merupakan bentuk perbualan antara mereka berdua.


                                                 Penutur A : Jom kita kecek Perlis.
                                                 Penutur B : Jom.
                                                 Penutur A : Cek suka lok lak ni.

ULASAN

Terdapat kesalahan bahasa dalam perbualan mereka. Kesalahan bahasanya jelas apabila penutur A mencampuradukkan dialek Kelantan dan dialek Utara. Kecek di atas merupakan bahasa yang digunakan oleh masyarakat di negeri Kelantan. Sepatutnya perkataan itu ditukar menjadi ayat biasa supaya pendengar tidak keliru sama ada penutur ingin berkomunikasi dalam bahasa Perlis atau bahasa Kelantan. Dalam situasi di atas penutur A tidak mahir untuk berkomunikasi dalam loghat negeri Perlis. Sekiranya orang Utara yang mendengarnya sudah pasti pelik dan geli hati kerana perkataan " lok lak " itu menunjukkan seseorang yang tidak senonoh. Penggunaan bahasa dalam loghat sesebuah negeri adalah berbeza. Oleh demikian, sebelum kita memulakan perbualan sebaiknya kita mengetahui maksud yang ingin kita sampaikan. Hal ini dapat mengelakkan daripada kita ditertawakan oleh orang lain dan mengelakkan masalah komunikasi antara satu sama lain.





Monday 24 September 2012

SITUASI 1: Di kedai makan





Isnin
24 September 2012

Saya dan rakan bercadang untuk makan diluar. Kami pergi ke sebuah kedai makan yang terletak berhampiran dengan Pos laju. Semasa di kedai makan, saya terdengar perbualan diantara seorang lelaki dan seorang perempuan. Pada mulanya saya tidak memperdulikan apa yang mereka perkatakan tetapi perbualan mereka telah menarik hati untuk mendengarnya. Muka lelaki tersebut kelihatan penuh dengan tanda tanya.

Perbualannya adalah seperti ayat di bawah ini:

                                                   Pelanggan     : Kak milo ais sebungkus.
                                                   Peniaga         : Sekejap ye.
                                                   Pelanggan     : ok.
                                                   Peniaga         : Tepi ke mati?
                                                   Pelanggan     : Haaa???

ULASAN


Berdasarkan apa yang yang dilihat dalam situasi di atas, penggunaan bahasa kadangkala tidak dapat difahami sepenuhnya oleh penutur lain. Pelanggan di atas kehairanan apabila peniaga tersebut menanyakan soalan " tepi ke mati ?". Seharusnya peniaga tersebut perlu menjelaskan sama ada minuman tersebut perlu diikat tepi ataupun disimpul mati. Komunikasi di antara peniaga dan pelanggan tidak dapat berjalan dengan berkesan akibat penggunaan ayat yang tergantung dan tidak tepat. Oleh yang demikian, kita seharusnya sedar bahawa tidak semua orang dapat memahami apa yang kita sampaikan terutamanya apabila kita menggunakan ayat yang ringkas.