Friday 19 October 2012

SITUASI 20: Perkhemahan pelajar sekolah


JUMAAT
19 OKTOBER 2012






Saya dan rakan-rakan ditugaskan untuk mengambil gambar pelajar sekolah rendah yang terlibat dengan perkhemahan. Semasa mengambil gambar, saya melihat seorang guru lelaki sedang memberi taklimat kepada semua pelajar sekolah rendah tersebut. Selepas taklimat sesi pembahagian kumpulan diberikan. Guru meminta setiap ketua kumpulan pergi ke hadapan untuk mengambil khemah. Apa yang memeranjatkan saya apabila guru tersebut mencampakkan khemah tersebut kepada salah seorang pelajar lelaki. Budak itu kelihatan terkejut dan khemah yang dicampakkan kepadanya itu hampir terkena mukanya. Saya hanya tergamam melihat tingkah laku guru tersebut. Tingkah laku dan kata-kata yang sedemikian tidak sepatutnya digunakan kepada pelajar melainkan pelajar tersebut berdegil atau tidak  mendengar arahan.

UlASAN

Sebagai seorang guru kita seharusnya sedar bahawa tidak semestinya kekerasan yang dapat mendidik pelajar. Berdasarkan situasi di atas sikap sedemikian bukan hanya boleh mencederakan pelajar malahan menujukkan sikap yang kurang baik oleh golongan guru. 

Sekiranya pelajar melakukan kesalahan wajar kita memberikan teguran tetapi teguran tersebut mestilah bersesuaian dan tidak melampau. Seandainya pelajar tersebut mengalami kecederaan sudah pasti banyak pihak yang terlibat.

 Kata-kata yang dituturkan kepada pelajar juga perlulah bersesuaian. Sekiranya pelajar mendengar arahan yang disampaikan oleh guru, tidak salahnya guru bertolak ansur dan tidak bertindak kasar kepada pelajarnya.


Thursday 18 October 2012

SITUASI 19: Variasi bahasa


KHAMIS
18 OKTOBER 2012

Setelah berakhir majlis Malam Tautan Kasih Perbayu saya dan rakan bergegas keluar. Bukan apa risau sekiranya kami semua terlepas bas. Kami berenam berjalan secepat yang mungkin. Sampai di pintu pagar kami hanya melihat bas KUO sahaja. Rasa resah timbul dalam diri. Manalah bas ke kampus ni??. Berhampiran kami ada ramai budak lelaki semester satu. Kami pun sembanglah dengan mereka. Ada seorang budak lelaki ni, dia bercakap bahasa Kelantan terlalu pekat. Kadang-kadang saya tidak memahami apa yang diperkatakannya. “ kelik ghatoh aye”, itulah perkataan yang keluar dari mulut salah seorang budak semester satu. Dalam hati saya berkata “ ohh balik ni dia nak ratah ayam ”. Lantas kawan saya bertanya kepada budak tersebut kelik ghatoh ayam tu apa? kawan saya seorang lagi menjelaskan kepada kawan saya itu maksud sebenar apa yang diperkatakan oleh budak tersebut. Kawan saya pun mengangguk, ohhh macam tu ingatkan apa tadi. 

ULASAN

Berdasarkan situasi di atas dapatlah disimpulkan bahawa penggunaan dialek boleh menimbulkan kekeliruan atau ketidakfahaman seseorang. Bagi mereka yang faham maksud sesuatu perkara itu tidak mengapa tetapi bagi mereka yang tidak fahami maksud tersebut pasti akan menimbulkan tanda tanya. Jika kita lihat hari ini ramai yang bertutur menggunakan dialek negeri masing-masing. Penggunaan dialek itu digunakan secara meluas. Sebagai contohnya kita boleh lihat ada penceramah atau ahli-ahli panel yang menggunakan dialek negeri mereka dalam majlis rasmi. Bagi sesetengah orang mereka merasakan bahawa penggunaan dialek boleh merapatkan lagi hubungan mereka dengan khalayak. Memang ada betulnya mereka yang menggunakan dialek dapat mewujudkan kemesraan dan dijadikan suatu hiburan tetapi harus diingat penggunaan dialek ini akan menimbulkan permasalahan bahasa kepada masyarakat kita hari ini. Mutu bahasa Melayu sama ada lisan ataupun tulisan akan merosot akibat penggunaan dialek ini.


Wednesday 17 October 2012

SITUASI 18: Rujukan kehormat


RABU
17 OKTOBER 2012


Kumpulan lima    : Assalamualaikum dan selamat sejahtera, Yang dihormati pensyarah kita Dr Z dan rakan-rakan sekalian.
Pensyarah          : Salah tu. Betulkan semula ayat tersebut.

Setiap ahli dari kumpulan lima dikehendaki membetulkan ayat tersebut namun ayatnya tetap salah.

Pensyarah          : Selagi tidak betul selagi itu pembentangan tidak boleh dijalankan.

Saya dan rakan-rakan berbincang untuk mencari jawapan yang sebenar. Akhirnya pensyarah meminta rakan saya ke hadapan untuk memberi jawapan yang tepat. Jawapan yang diberikan oleh rakan saya turut salah. Hampir 15 orang dipanggil ke hadapan. Seorang demi seorang diminta untuk membetulkan ayat tersebut. Akhirnya seorang pelajar perempuan yang berbangsa India dapat membetulkan kesalahan tersebut.

Pelajar India        : Yang berbahagia pensyarah kita Dr Z.
Pensyarah           : Ok. Jawapan awak betul.
                            Beri tepukan kepada kawan kita ini.


ULASAN

 Berdasarkan situasi di atas dapat simpulkan bahawa rujukan kehormat adalah aspek yang penting yang perlu dititikberatkan. Walaupun perkara ini nampak mudah dan remeh tetapi kita harus sedar bahawa perkara ini bukan hanya membezakan pangkat seseorang tetapi sebagai tanda menghormati orang yang berkenaan. 

Kebiasaannya dalam majlis tertentu bahagian protokol sangat penting bagi memastikan sesuatu majlis itu dapat berjalan dengan baik. Aspek penting yang harus diambil berat berkenaan rujukan kehormat ini adalah mengenalpasti terlebih dahulu latar belakang tetamu atau orang penting yang diundang. 

Kesalahan rujukan kehormat ini akan menimbulkan permasalahan yang besar terutamanya apabila berhadapan dengan golongan yang berstatus dan berpangkat besar seperti Raja, Perdana Menteri dan sebagainya.

Penggunaan bentuk sapaan yang betul sebenarnya amat penting dalam kesantunan berbahasa.Sehubungan dengan itu, bentuk sapaan mestilah berpadanan dengan kedudukan atau taraf orang yang disapa.










Tuesday 16 October 2012

SITUASI 17: Kesalahan bahasa

SELASA
16 OKTOBER 2012



Zila: Dekat kampung saya basikal tu orang panggil gerek.

Amirul: Ehh dekat kampung saya orang sebut basikal.

ULASAN

Tanpa kita sedari dalam kehidupan kita seharian kadang kala kita sering menyalahgunakan sesuatu bahasa itu. Perkara ini mungkin disebabkan oleh kebiasaan menggunakannya dari dahulu sehingga sekarang. Apabila ada pihak yang menyangkal barulah kita cuba mencari jawapannya. Contohnya seperti situasi di atas.

Perkara ini sudah biasa kita dengari dalam perbualan. Sebenarnya perkataan yang sesuai ialah sebut berbanding panggil. Biasanya panggil itu merujuk kepada sesuatu yang bertindak balas. Misalnya mak panggil adik masuk kerana hari sudah senja. Dalam hal ini mak dan adik menunjukkan sesuatu yang bertindak balas.

Bagi perkataan sebut pula ia lebih sesuai digunakan bagi tujuan memberi nama atau menggelarkan sesuatu. Misalnya seperti ayat di atas sepatutnya ayat yang sesuai ialah dekat kampung saya basikal itu orang sebut gerek. Oleh yang demikian perkataan panggil di atas perlu ditukar kepada perkataan sebut kerana ayat tersebut menunjukkan bahawa Zila menamakan sesuatu yang tidak boleh bertindak balas.


Monday 15 October 2012

SITUASI 16: Memartabatkan Bahasa Melayu


ISNIN 
15 OKTOBER 2012





Hari ini merupakan hari Persidangan Antarabangsa Memartabatkan Bahasa Melayu & Pelancaran Bulan Bahasa Melayu Peringkat Negeri Perak  di Universiti Pendidikan Sultan Idris. Saya agak tertarik dengan kata-kata seorang pensyarah yang bernama Prof. Abdul Hamid Mahmood. Menurutnya tajuk seminar “Memartabatkan Bahasa Melayu” lebih sesuai ditukar kepada Memartabatkan Kembali Bahasa Melayu.

                                                                     ULASAN

Setiap kata-kata memberi makna yang tersendiri. Begitulah juga dengan kata memartabatkan bahasa Melayu.  Makna di sebalik kata-kata ini memperjelaskan bahawa kita sedang mengangkat bahasa Melayu ke arah bahasa yang lebih tinggi dan sebagai bahasa pengantar ilmu. 

Sebenarnya bahasa Melayu sudah pun dimartabatkan sejak dahulu lagi. Bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa kebangsaan dan digunakan dalam hal pentadbiran, pendidikan, perhubungan dan lain-lain lagi. 

Saya bersetuju dengan pendapat Prof Abdul Hamid yang menyatakan bahawa memartabatkan bahasa Melayu  tersebut ditukar kepada memartabatkan kembali bahasa Melayu. Hal ini kerana selepas kemerdekaan 1957 kita sudah mula menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar ilmu. 

Selain itu juga, sejarah telah membuktikan bahasa Melayu berperanan sebagai media penyebaran persuratan ilmu di Nusantara. Pelbagai kempen telah dijalankan dari dahulu hingga sekarang demi memartabatkan bahasa Melayu ini. Oleh yang demikian, usaha dalam memastikan bahasa Melayu mencapai kegemilangannya haruslah dipergiatkan dan dipertingkatkan secara berterusan agar bahasa Melayu tidak lenyap dek arus zaman.