Friday 26 October 2012

SITUASI 25: Stesyen atau stesen???

JUMAAT

26 OKTOBER 2012


                             
Gambar A: STESYEN                                                  Gambar B: STESEN

ULASAN

Kita sering keliru dengan perkataan stesyen dan stesen. Dalam bahasa Inggeris stesen dieja station. Hal ini menimbulkan kekeliruan sama ada stesyen tersebut adalah dari bahasa Inggeris atau pinjaman daripada bahasa Inggeris.

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka stesen merupakan tempat khas bagi kenderaan penumpang seperti kereta api, bas dan teksi untuk berhenti. Stesen juga turut dikatakan sebagai tempat perhentian.

Berdasarkan Gambar A di atas, Ia merujuk kepada tempat penumpang naik dan turun di perhentian-perhentian tertentu. Oleh yang demikian ejaan "stesyen" itu perlu ditukar kepada ejaan yang betul dan tepat iaitu stesen.

Bagi gambar B pula, perkataan stesen tersebut sudah tepat. Seperti yang kita sedia maklum stesen merupakan tempat perhentian bukan hanya untuk menaik turun penumpang sahaja tetapi berfungsi sebagai suatu tempat yang mempunyai peralatan khas untuk memberikan sesuatu perkhidmatan atau menjalankan aktiviti-aktiviti tertentu seperti aluran gelombang radio, Hidroelektrik, sistem penjana kuasa dan sebagainya.

Kesimpulanya di sini terdapat kesalahan penggunaan perkataan stesen dalam gambar A di atas. Kesalahan ini bukan hanya melibatkan perkataan stesen itu tetapi kosa kata ayat yang digunakan tidak bersesuaian. 

Oleh itu, bersamalah kita pelihara bahasa Melayu ke arah bahasa yang disegani. 



Thursday 25 October 2012

SITUASI 24: Loghat negeri Pahang


KHAMIS
25 OKTOBER 2012


Tak cak ne: tak dengar kata

Copeng: tepi sangat

Ngope: kenapa

Molor: Bekas

 Tak pandai kelakor: tak pandai gayakan

Melohor: Tengah hari

                                                BabÉ™: tak dengar cakap

                                                     Kas: Saya

                                          Karang: Nanti atau sebentar

                                          Lantok aok: suka hati awak
 

ULASAN


Sudah lama tidak mendengar loghat negeri Pahang. Ketika di kampung seluruh keluarga menggunakan loghat negeri Pahang dalam perbualan. 

Ada bahasa yang tidak saya fahami dan lama tidak dengari. 
Kata-kata di atas merupakan bentuk loghat negeri Pahang. Disebabkan berjauhan dari keluarga perbualan saya menjadi bahasa standard atau bahasa biasa. 

Apabila pulang ke kampung barulah saya mempelajari dan menukarkan bahasa standard tadi kepada loghat negeri Pahang. Dalam berbahasa penggunaan loghat sebenarnya tidak digalakkan. Bukan apa kita biasanya akan terbawa-bawa loghat itu ke merata tempat.

Hal ini akan menimbulkan salah faham kepada pihak yang mendengar. Tidak semua orang dapat memahami bahasa yang kita ujarkan lebih-lebih lagi apabila kita menggunakan loghat negeri masing-masing. 

Semasa belajar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) saya pernah terkeluar loghat negeri Pahang ketika berbual dengan rakan saya. Rakan saya cuba perbetulkan ayat saya. Rasanya ayat tersebut sudah betul cuma rakan saya tidak biasa dengan ayat yang saya gunakan. 

Saya menanyakan soalan kepada rakan saya dari negeri Pahang dan dia faham dengan ayat yang saya kemukakan. Kesimpulannya di sini elakkan dari menggunakan loghat dalam perbualan supaya kita sendiri tidak tersinggung dan orang lain dapat memahami maksud yang ingin kita sampaikan.










Wednesday 24 October 2012

SITUASI 23: Budi bahasa


RABU
24 OKTOBER 2012

Pelbagai halangan terpaksa ditempuhi sepanjang perjalanan pulang ke kampung halaman hari ini. Semasa di stesen bas Tanjung Malim saya dimarahi oleh penjaga di kaunter gara-gara ingin menukar tiket bas. Setibanya di Titiwangsa saya terus membeli tiket bas untuk ke Raub. Sebelum menaiki bas seorang warga emas telah dimarahi oleh pemandu bas kerana berjalan terlalu pelahan. Suasana di dalam bas pada mulanya sunyi berubah apabila pemandu bas tersebut melemparkan kemarahannya. Ada penumpang yang dimarahi kerana membawa makanan masuk ke dalam bas. Sepanjang perjalanan pemandu bas tersebut asyik beremosi sahaja. Habis kenderaan lain turut dimarahi. Bunyi hon itu dijadikan satu amaran kepada pemandu yang lain. Saya hanya mampu berkata-kata di dalam hati dan tiada siapa pun yang berani melawan kata-kata pemandu bas tersebut.

ULASAN

Berdasarkan situasi di atas jelas memperlihatkan kebanyakan masyarakat hari ini tidak menitikberatkan nilai-nilai murni dalam kehidupan mereka. Sikap buruk atau negatif dalam diri terbawa-bawa ke merata tempat sehingga tidak mengira masa dan situasi. Akibatnya orang lain yang menjadi mangsa. 

Wajarlah warga emas tersebut berjalan lambat ketika menaiki bas. Hal ini kerana faktor usia dan kesihatan menyebabkan warga emas tersebut sukar untuk bergerak dengan pantas. Sekiranya penat sekalipun kita haruslah mengawal emosi kita agar tidak menyakiti hati pihak lain. Melepaskan kemarahan bukan cara yang bijak untuk menyelesaikan masalah. 

Amalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan dan terapkan nilai berbudi bahasa ketika berbicara. Tidak salahnya sekiranya kita ingin menegur seseorang itu agar tidak membawa masuk makanan, tetapi teguran itu mestilah dalam nada yang tidak terlalu tinggi dan tidak menjatuhkan air muka orang tersebut di khalayak ramai.  
        
Saya tertarik dengan lirik lagu upin & ipin. Lagu inilah seharusnya kita terapkan dalam kehidupan kita. 
                                                     
                                                        Renung-renungkan lirik lagu ini.

Tanam-tanam ubi,
Tak perlu dibaja,
Orang berbudi,
Kita berbahasa.






Tuesday 23 October 2012

SITUASI 22: Bandar atau pekan???



SELASA
16 OKTOBER 2012

Persoalan saya selama ini akhirnya terjawab. Dalam kelas semantik tadi En. Abdullah Yusof ada menceritakan mengenai perbezaan bahasa yang digunakan oleh masyarakat di sesebuah kawasan. Kebetulan ia melibatkan masyarakat di negeri Pahang dan negeri lain. Ternyata ada perbezaan yang terdapat pada perkataan “pekan”. Menurut En. Abdullah Yusof masyarakat di negeri Pahang mentafsir pekan itu sebuah pasar malam atau pekan sari tetapi bagi masyarakat di negeri lain pekan merujuk kepada bandar-bandar kecil. Barulah saya sedar selama ini saya pelik kenapa pekan Tg. Malim dipanggil pekan bukan bandar Tg. Malim. Jika di tempat saya pula, pekan sebesar Tg. Malim itu dipanggil bandar Raub.

                                            Pekan Tg. Malim
                                                 Bandar Raub

                                                  Pekan Sari

ULASAN

Situasi di atas memperjelaskan bahawa pekan dan bandar merupakan dua tempat yang hampir sama dari segi pembangunannya. Berbezanya adalah dari segi konteks masyarakatnya. Setengah pihak mengelaskan sesuatu tempat berdasarkan kepada pemerhatian dan pandangannya yang tersendiri. Mungkin masyarakat di negeri Pahang menamakan bandar Raub kerana melihatnya dari struktur kemudahan dan pembangunan di kawasan tersebut. Bagi masyarakat Tg. Malim pula melihat pekan tersebut dari perspektif yang berbeza dengan masyarakat di Raub. Namun demikian, kekeliruan ini sebenarnya boleh dibezakan dengan saiz petempatan. Bandar adalah tempat atau pusat yang ramai penduduknya dan terdapat banyak urusan perniagaan yang dijalankan. Pekan pula merujuk kepada petempatan manusia yang biasanya lebih besar dari kampung tetapi lebih kecil dari bandar. Bagi pekan sari pula ia nya dibezakan dengan jualannya lebih kepada makanan dan pakaian disamping waktu beroperasinya adalah pada waktu-waktu yang ditetapkan. 

Monday 22 October 2012

SITUASI 21: Penggunaan bahasa dalam pantun

ISNIN
22 OKTOBER 2012



   ULASAN

Dalam berbahasa kadangkala kita selalu melakukan kesalahan. Kesalahan itu bukan hanya dalam bentuk lisan sahaja tetapi turut didapati dalam bentuk tulisan. Apa yang ingin saya sampaikan di sini ialah penyalahgunaan bahasa itu sering kali dilihat dan diguna pakai oleh kita semua hari ini dalam apa jua situasi. Kadang-kadang kita sendiri tidak sedar perkara yang kecil tersebut sebenarnya boleh merosakkan bahasa sedikit demi sedikit. 

Bagi contoh di atas kita dapat lihat penggunaan pantun sering disalahgunakan dari segi bentuk bahasanya. Maksud pantun tersebut mungkin dapat difahami oleh pihak lain tetapi kegunaan ayat dalam pantun tersebut perlulah bersesuaian. Setiap kata-kata memberi maknanya yang tersendiri. Tidak mungkin kubis dapat ditanam di atas langit. Maksud ini terlalu tinggi dan begitu tersirat tetapi ia boleh menimbulkan persoalan kepada orang ramai dan akan disangkal oleh pihak- pihak tertentu. 

Bagi orang yang mementingkan penggunaan bahasa sudah pasti menolak penggunaan bahasa yang sedemikian. Biasanya dalam bersastera kita bebas menggunakan bentuk-bentuk bahasa yang indah bagi menarik perhatian khalayak. Tetapi harus diingat walaupun bahasa yang digunakan menarik dan indah namun ia tidak memberi apa-apa makna sekiranya bahasa itu disalahgunakan.


Friday 19 October 2012

SITUASI 20: Perkhemahan pelajar sekolah


JUMAAT
19 OKTOBER 2012






Saya dan rakan-rakan ditugaskan untuk mengambil gambar pelajar sekolah rendah yang terlibat dengan perkhemahan. Semasa mengambil gambar, saya melihat seorang guru lelaki sedang memberi taklimat kepada semua pelajar sekolah rendah tersebut. Selepas taklimat sesi pembahagian kumpulan diberikan. Guru meminta setiap ketua kumpulan pergi ke hadapan untuk mengambil khemah. Apa yang memeranjatkan saya apabila guru tersebut mencampakkan khemah tersebut kepada salah seorang pelajar lelaki. Budak itu kelihatan terkejut dan khemah yang dicampakkan kepadanya itu hampir terkena mukanya. Saya hanya tergamam melihat tingkah laku guru tersebut. Tingkah laku dan kata-kata yang sedemikian tidak sepatutnya digunakan kepada pelajar melainkan pelajar tersebut berdegil atau tidak  mendengar arahan.

UlASAN

Sebagai seorang guru kita seharusnya sedar bahawa tidak semestinya kekerasan yang dapat mendidik pelajar. Berdasarkan situasi di atas sikap sedemikian bukan hanya boleh mencederakan pelajar malahan menujukkan sikap yang kurang baik oleh golongan guru. 

Sekiranya pelajar melakukan kesalahan wajar kita memberikan teguran tetapi teguran tersebut mestilah bersesuaian dan tidak melampau. Seandainya pelajar tersebut mengalami kecederaan sudah pasti banyak pihak yang terlibat.

 Kata-kata yang dituturkan kepada pelajar juga perlulah bersesuaian. Sekiranya pelajar mendengar arahan yang disampaikan oleh guru, tidak salahnya guru bertolak ansur dan tidak bertindak kasar kepada pelajarnya.


Thursday 18 October 2012

SITUASI 19: Variasi bahasa


KHAMIS
18 OKTOBER 2012

Setelah berakhir majlis Malam Tautan Kasih Perbayu saya dan rakan bergegas keluar. Bukan apa risau sekiranya kami semua terlepas bas. Kami berenam berjalan secepat yang mungkin. Sampai di pintu pagar kami hanya melihat bas KUO sahaja. Rasa resah timbul dalam diri. Manalah bas ke kampus ni??. Berhampiran kami ada ramai budak lelaki semester satu. Kami pun sembanglah dengan mereka. Ada seorang budak lelaki ni, dia bercakap bahasa Kelantan terlalu pekat. Kadang-kadang saya tidak memahami apa yang diperkatakannya. “ kelik ghatoh aye”, itulah perkataan yang keluar dari mulut salah seorang budak semester satu. Dalam hati saya berkata “ ohh balik ni dia nak ratah ayam ”. Lantas kawan saya bertanya kepada budak tersebut kelik ghatoh ayam tu apa? kawan saya seorang lagi menjelaskan kepada kawan saya itu maksud sebenar apa yang diperkatakan oleh budak tersebut. Kawan saya pun mengangguk, ohhh macam tu ingatkan apa tadi. 

ULASAN

Berdasarkan situasi di atas dapatlah disimpulkan bahawa penggunaan dialek boleh menimbulkan kekeliruan atau ketidakfahaman seseorang. Bagi mereka yang faham maksud sesuatu perkara itu tidak mengapa tetapi bagi mereka yang tidak fahami maksud tersebut pasti akan menimbulkan tanda tanya. Jika kita lihat hari ini ramai yang bertutur menggunakan dialek negeri masing-masing. Penggunaan dialek itu digunakan secara meluas. Sebagai contohnya kita boleh lihat ada penceramah atau ahli-ahli panel yang menggunakan dialek negeri mereka dalam majlis rasmi. Bagi sesetengah orang mereka merasakan bahawa penggunaan dialek boleh merapatkan lagi hubungan mereka dengan khalayak. Memang ada betulnya mereka yang menggunakan dialek dapat mewujudkan kemesraan dan dijadikan suatu hiburan tetapi harus diingat penggunaan dialek ini akan menimbulkan permasalahan bahasa kepada masyarakat kita hari ini. Mutu bahasa Melayu sama ada lisan ataupun tulisan akan merosot akibat penggunaan dialek ini.